Ferry's Astronomy Page

Masalah Hilal Syawal 1423 Hijrah

Azam Noor1


Pada tahun 1989 hingga tahun 1990 lalu, saya pernah menulis artikel berjudul 'Pendapat Ahli-Ahli Hukum Mengenai Penetapan Bulan Qamariah' dalam Risalah Falak Syar'i Persatuan Falak Syar'i Malaysia yang beralamat di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor. Artikel tersebut diterbitkan selama 8 siri dari Januari 1989 hingga Februari 1990 yang membincangkan dengan terperinci berkenaan pendapat kesemua ahli hukum mazhab seperti Syafie, Hanafi, Hambali, Maliki, Syiah Zaidiah dan juga Syiah Imamiah.

Kesemua pendapat ahli mazhab telah tersebut menyatakan 'persetujuan' atau maksudnya ialah kesamaan dalam kewajipan melihat hilal pada hari ke-29 menurut hadis baginda Rasulullah SAW.

Namun apa yang menjadi persoalan ialah jika menurut kata-kata sesetengah golongan bahawa Arab Saudi mengamalkan mazhab Hambali, kenapakah amalan melihat hilal menurut sunah Nabi SAW tidak benar-benar dipraktiskan oleh mereka (Arab) sedangkan pendapat kesemua mazhab adalah sama saja belaka menurut tulisan saya itu.

Masalah Fahaman Wahabi

Ini yang menjadi persoalan terbesar hingga timbul keraguan di hati saya sama ada mereka (Arab) tidak menurut hukum mazhab Hambali dalam hal rukyatul hilal bahkan terpengaruh dengan fahaman Muhammad bin Abdul Wahab (Wahhabi)? Secara tegasnya, amalan Wahabi sememangnya tidak menghendaki hisab falak bahkan tidak juga amalan rukyatul hilal secara hakiki bahkan mengikut kaedah yang tak sejajar dengan kehendak Rasulullah SAW. Maksud tak sejajar di sini adalah sepertimana yang telah saya terangkan iaitu tidak mengambil peduli sama ada anak bulan itu benar-benar boleh dirukyah atau tidak. Kesimpulannya, mereka hanya mementingkan kalau-kalau bulan boleh disabitkan 'wujud' atas ufuk selepas ijtimak walau tak menetapi kriteria keternampakan anak bulan yang telah disepakati oleh jumhur ulamak dalam rukyah hilal sekarang.

Jika tuduhan saya dilemparkan kepada cara segelintir golongan (Wahhabi) Arab menetapkan permulaan bulan baru hijrah, rasa curiga ini lebih menumpuk pada Mohammad Shawkat Odeh selaku ahli jawatankuasa ICOP dari Persatuan Astronomi Jordan (Jordanian Astronomical Society atau JAS) berpusat di Amman dengan menunjukkan betapa Kalendar Awam Umm Al Qura yang secara rasmi menjadi taqwim penetapan bulanan Arab Saudi adalah sama dengan perhitungan Yahudi untuk kalendar mereka! Pengumuman beliau boleh diikuti dengan memasuki laman web http://www.jas.org.jo/ dan juga forum ICOP di ICOP@yahoogroups.com pada mesej bertarikh 6 November 2002 dengan tajuk "Your announcement of Ramadan and your published Fatwa" selain dari fatwa online di http://www.fatwa-online.com/news/0021104.htm

Apa yang peliknya dengan dakwaan Shawkat itu tadi yang mengandaikan kalendar Umm Al Qura dihitung berasaskan kalendar Yahudi tetapi kenapa tarikh 1 Tevet 5763 bagi permulaan bulan Tevet Israel bersamaan dengan 6 Disember 2002 di mana sepatutnya 1 Syawal 1423 untuk semua negara-negara Islam? 4 Disember 2002 adalah bersamaan 29 Kislev 5763 Yahudi dan mereka menggenapkan Kislev 30 hari. Saya akan menyelidiki lagi perkara seperti ini dengan lebih mendalam pada masa depan.

Saya beranggapan bahawa segala maklumat dan dakwaan sesetengah golongan dari kita berkenaan negara Arab Saudi yang mengikut kaedah rukyah dan dikatakan juga kerana faktor udara, cuaca dan keadaan langit di sana yang membantu selalunya hanya berupa gambaran belaka akan apa yang berlaku di sana.

Sememangnya Falaki mereka bahkan kebanyakan masyarakat Arab Saudi tidak ikuti akan apa yang mereka katakan sebagai rukyah, yakni dalam konteks yang disebut sebagai rukyah hakiki. Inilah tanggapan yang menunjukkan mereka dipengaruhi oleh pemikiran Wahhabi dalam membuat keputusan berhubungan rukyah yang dimaksudkan. Puak Wahhabi menganggap penentuan anak bulan selain dari rukyah adalah bid’ah.

Tidaklah dapat dikatakan bahawa tidak adanya fahaman lain dan juga pengikut mazhab lain di sana seperti Syafie, Hambali, Maliki dan Hanafi tetapi apa yang nyata ialah betapa kuatnya pegangan Wahhabi di sana hingga ke masa ini. Tidak perlulah dinyatakan di sini semua contoh-contohnya namun diakui bahawa untuk menuduh semua masyarakat Arab Saudi di sana Wahhabi bukanlah tepat tetapi secara umumnya boleh kerana ia bukan secara khusus.

Pendekatan saya yang menyebut "Ini tidak dapat diterima menurut mazhab Syafie yang berpegang kepada apa yang telah disunahkan yang menjadi sebab kita berpegang kepada iktikad Ahlus Sunnah Waljamaah" telah diambil kerana bukanlah saya hendak merujuk kepada mana-mana aliran mazhab khasnya Syafie di Arab Saudi dan memang tidak ditujukan kepada masyarakat Arab sana tetapi kaedah yang digunakan oleh mereka di sana dalam menentukan anak bulan sebenarnya adalah bersalahan dengan kaedah yang disepakati menurut mazhab Syafie yang memegang kepada hadis riwayat Bukhari yang berbunyi: "Berpuasalah kamu dan berhari rayalah kamu dengan melihat hilal, jika hilal diliputi mendung (ghaim dan sebagainya) maka cukupkanlah 30 hari".

Masalahnya ialah jika hendak dikatakan mereka (Arab) mengikut hadis ini, di manakah buktinya? Sedangkan mengikut istilah melihat hilal ialah memastikan terlebih dahulu hilal itu wujud atau tidak dengan pandangan mata termasuklah di sini menggunakan peralatan teodolit dan teleskop optik untuk membantu cerapan.

Sebenarnya, bagi menjelaskan sama ada jika berpegang kepada amalan Wahhabi, adakah memang mereka tidak perlu bergantung kepada teknik hisab falak? Padahal mereka mengikuti konsep astronomi moden Barat yang menetapkan kaedah bahawa bulan baru (New Moon) muncul apabila ijtimak berlaku. Oleh itu fahaman Wahhabi terhadap penentuan hilal adalah dipengaruhi oleh fahaman sains astronomi Barat yang menganggap cukup dengan hanya mengetahui bila conjunction (ijtimak) dijangka berlaku untuk memulakan hari baru taqwim lunar!

Hal ini memang telah lama saya sedari semenjak lebih dari sepuluh tahun lalu dan saya mempunyai bukti-buktinya berdasarkan kes-kes yang ada disimpan semenjak lama dahulu. Kesimpulannya ialah hendak dikatakan mereka (Wahhabi) mengikuti amalan rukyah secara betul-betul (hakiki) pun tidak, apatah lagi hisab falak!

Kriteria Imkanur Rukyah Dan GTBA

Perlulah difahami bahawa sudah lama masa telah diambil oleh ramai pencerap zaman-berzaman semenjak Babylonia purba untuk membuat cerapan bagi menghasilkan keputusan supaya hilal boleh kelihatan di bawah dari 8 jam umurnya tetapi ini amat susah hendak berlaku dan sepanjang yang diketahui belum lagi terjadi sehingga ke masa ini, jadi masakan kita hendak pula membuat tanggapan bahawa keadaan ini boleh menyimpang dari sunnatullah?

Menurut kriteria kebolehnampakan (imkanur rukyah) seperti yang ditetapkan dalam Persidangan Hilal Negara-negara Islam Sedunia di Istanbul, Turki (1978). Rumusan itu menyatakan, pada hari rukyah anak bulan dikira nampak jika ketika matahari terbenam;

  1. Tinggi anak bulan tidak kurang dari 5 darjah dari ufuk barat
  2. Jarak lengkung anak bulan ke matahari tidak kurang dari 8 darjah.
  3. Umur anak bulan tidak kurang dari 8 jam selepas ijtimak berlaku.

Pada tahun 1992, langkah awal untuk mewujudkan keseragaman tarikh penting ini telah dilakukan oleh negara kita bersama-sama dengan Indonesia, Brunei dan Singapura hasil kesan langsung dari pertemuan tidak rasmi Menteri-menteri Agama Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS). Perbincangan yang berterusan di antara anggota-anggota MABIMS dengan mengambil kira keperluan dan pengalaman semasa dan persetujuan semua pihak telah menghasilkan suatu keputusan baru yang lebih bersesuaian. Hasilnya MABIMS telah bersetuju menetapkan puasa dan hari raya dengan menggabungkan kaedah rukyah dan hisab dengan kriteria baru yang diubahsuai dari kriteria Turki dahulu iaitu:

  1. Tinggi anak bulan tidak kurang dari 2 darjah dari ufuk barat
  2. Jarak lengkung anak bulan ke matahari tidak kurang dari 3 darjah.
  3. Umur anak bulan tidak kurang dari 8 jam pada hari rukyah selepas ijtimak berlaku.
Rajah 1. GTBA menunjukkan rantau kebolehnampakan hilal hanya berada di Lautan Pasifik pada 4 Disember 2002 [Lihat versi besar]

Walaupun setengah pihak mengatakan bahawa hilal yang berusia lebih 8 jam untuk boleh mensabitkannya kelihatan tetapi hakikatnya ini bukanlah sebagai satu syarat yang pasti hilal akan wujud kerana menurut perhitungan falak, zon kenampakan paling awal hilal adalah di Amerika Selatan (Chile) pada 4 Disember 2002 lalu. Rajah 1 dan 2 menunjukkan Garisan Tarikh Bulan Antarabangsa (GTBA) merujuk kepada warna sebagai pengkelasan terhadap zon-zon kenampakan hilal yang mungkin boleh kelihatan di seluruh dunia bagi hari-hari berkenaan. Walaupun syarat Yallop adalah begitu tinggi untuk sesebuah negara Islam mengikut zon masing-masing namun syarat beliau adalah agak rendah berbanding syarat Ilyas (jika menggunakan syarat Ilyas, hilal berada jauh ke kiri lagi dalam rajah berkenaan). Mengambil kira matahari terbenam 5 darjah di bawah ufuk untuk kelihatannya anak bulan boleh dikatakan sebagai memadai sebab dalam banyak kes sukar hendak dikatakan bahawa apabila masuk saja waktu maghrib maka anak bulan boleh kelihatan dengan mudah sedangkan kekuatan sinaran matahari sendiri sahaja boleh menenggelamkan sinaran anak bulan yang diketahui hanya sekitar 0.003 peratus sahaja. Justeru itu syarat 5 darjah matahari di bawah ufuk adalah untuk membolehkan syafaq merah sedikit berkurangan ketika senja awam (civil twilight) bagi membolehkan sinaran hilal boleh dicerap pada tahap yang cukup minimum ini.

Rajah 2. GTBA menunjukkan rantau kebolehnampakan hilal global yang lebih meluas pada 5 Disember 2002 [Lihat versi besar]

Sebenarnya, GTBA diasaskan merujuk kepada kriteria imkanur rukyah. GTBA adalah dinamik, maksudnya berubah-ubah setiap bulan hijrah. Bagi GTBA untuk 5 Disember 2002, hanya beberapa negara sahaja yang tidak dilewati oleh anak bulan sabit muda iaitu majoriti wilayah Siberia di Russia, Norway, Greenland, Kanada Utara dan Alaska.

Walaupun penyeragaman ini telah bermula semenjak tahun 1992 hingga sekarang yang membolehkan umat Islam di negara kita menjalani ibadah puasa dan berhari raya serentak dengan Indonesia, Singapura dan Brunei namun terjadi juga kedegilan beberapa pihak dari kalangan umat Islam sendiri yang tidak mahu menuruti persepakatan yang telah dimeterai dahulu.

Akan hal ini, Baharrudin Zainal dari Unit Falak, Kolej Agama Sultan Zainal Abidin (KUSZA), Kuala Terengganu telah menyatakan: "Melalui sedikit pengubahsuaian, senario ini akan berlaku secara sistematik dan takwim hijri boleh diseragamkan. Masalahnya sesetengah pihak memahamkan penyeragaman takwim ialah tarikh yang sama bagi semua glob bumi. Dalam kes takwim hijri, penyeragaman tarikh bermaksud ada satu garis yang memisahkan dua hari berbeza. Konsep ini hanya boleh dilaksanakan apabila masyarakat antarabangsa boleh menerima salah satu syarat kenampakan anak bulan. Hanya kekuatan politik yang menjadi penentu sama ada konsep GTBA yang telah diperkenalkan sejak 20 tahun lalu boleh menjadi kenyataan. Satu mekanisma kaedah takwim kontemporari perlu diterima secara mutlak oleh semua negara Islam untuk merealisasikan konsep GTBA, melalui kuasa dan tekanan politik."

Suka saya mencelah di sini bahawa untuk menyuruh masyarakat dunia menerima konsep Garisan Tarikh Bulan Antarabangsa (International Lunar Date Line) tidaklah semudah penerimaan terhadap Garisan Tarikh Suria Antarabangsa (International Date Line) yang membahagi dua zon waktu 24-jam dunia kerana simbolik terhadap masalah penerimaan ini pernah juga berlaku sewaktu pembetulan kalendar Julian ke Gregorian untuk membuang lebihan 10 hari pada tahun 1582. Walaupun beberapa negara Eropah waktu itu menerima gagasan pembetulan tersebut tetapi England dan jajahan takluknya iaitu Kanada dan Amerika Syarikat hanya menerimanya setelah 170 tahun kemudian iaitu pada 1752! Jika dunia Islam membuat kerenah yang sama, saya tidak dapat pastikan lagi.

Di Indonesia, menurut seorang pelapor dari Jawa Tengah, Indonesia bernama Zuhara Muzakkin dalam forum falak-net yang menyatakan bahawa Indonesia telah menyambut Hari Raya Aidil Fitri secara berkembar di mana sebahagian masyarakat merayakan dan melaksanakan solat hari raya pada hari Khamis, 5 Disember 2002 dan sebahagian yang lain melaksanakannya pada hari Jumaat, 6 Disember 2002. Hari Raya yang pertama berdasarkan surat keputusan tanggal 21 September 2002 satu organisasi Islam yang cukup berpengaruh di Indonesia yang hanya berlandaskan Hisab Wujudul Hilal dan mengabaikan Rukyah (diputuskan 3 bulan sebelumnya dan beliau sendiri belum memahami pedoman syar’i yang dipegangi oleh mereka), sedangkan Hari Raya yang terakhir berdasarkan keputusan Sidang Itsbat Departemen Agama RI pada tanggal 4 Disember 2002 setelah menunggu hasil Rukyah yang diikuti oleh sebahagian besar organisasi Islam besar yang lain dan kebanyakan umat Islam di Indonesia, yang berlandaskan Hisab Imkanur Rukyah dan juga rukyah.

Begitu juga penetapan awal Zulhijjah 1423 baru-baru ini, bilamana Muhammadiyah – suatu organisasi Islam yang ke-2 terbesar di Indonesia yang ajarannya dikatakan banyak menyadap mazhab Wahhabi, pada Oktober 2002 lalu telah memutuskan bahwa Hari Raya Aidil Adha jatuh pada tanggal 11 Februari 2003.

Menurut perhitungan organisasi tersebut di Yogyakarta, pada tanggal 1 Februari 2003 hilal dikatakan tinggi mencapai 1 darjah 15 minit di atas ufuk (tidak menepati kriteria yang telah disepakati pada tahun 1992). Sementara Pemerintah Republik Indonesia (RI) menunggu hasil sidang Itsbat di mana Nahdhatul Ulama (NU) sebagai organisasi Islam terbesar di Indonesia menunggu hasil Rukyah Hilal. Menurut perhitungan NU Aidil Adha diperkirakan jatuh pada tanggal 12 Februari 2003. Justeru tanggapan yang mengatakan umat Islam sebenarnya sama-sama beramalan berdasarkan Al Quran mahupun Al Hadis tetapi dalam hal merukyah adalah berbeza memang sangat benarnya. Masalah yang timbul di sini ialah betapa umat Islam tidak bersatu dan mempunyai banyak aliran fahaman yang berpecah-belah walau bagaimana muluk persepakatan yang pada awalnya tampak berjaya.

Masalah di atas adalah lebih menonjol bagi negara Arab Saudi. Apa yang nyata ialah Arab Saudi menggunakan kriteria adanya anak bulan baru (New Moon) di atas ufuk (walaupun setinggi 0.5 darjah!) pada hari berkenaan untuk mensabitkan ‘anak bulan dianggap ada’ walaupun ia sebenarnya tidak boleh kelihatan menurut syarat sebenar rukyatul hilal. Jadi, boleh saja dibuat kesimpulan bahawa mereka mungkin saja menggunakan satu kriteria iaitu berlakunya ijtimak bulan-matahari kerana hal ini biasa mereka lakukan berpuluh-puluh tahun lamanya. Kaedah ini juga pernah diamalkan dengan cara menggunakan hisab hakiki oleh ulamak-ulamak pondok di Tanah Melayu suatu ketika dahulu yang mensabitkan anak bulan dianggap ada jika ijtimak telah berlaku. Kefahaman berkenaan ijtimak inilah yang telah mengelirukan masyarakat Islam di banyak negara semenjak zaman-berzaman.

Di Jeddah, anak bulan pada hari 4 Disember 2002 adalah setinggi 1 darjah 34 minit 18 saat ketika matahari betul-betul di garisan bawah ufuk laut dan hanya berusia tak sampai 8 jam iaitu 7 jam 36 minit sahaja. Ini yang peliknya dengan dakwaan anak bulan kelihatan di sana sedangkan menurut maklumat yang boleh didapati dari laman web ICOP (Islamic Crescents Observation Project) ialah negara Arab, Afrika Utara dan Selatan Thailand sahaja yang beraya pada hari 5 Disember iaitu Khamis. Jadi kenapa Maghribi (negara Islam paling barat), Iran, Afghnistan, Oman dan banyak lagi tidak turut beraya sama bahkan menyertai Malaysia pada 6 Disember 2002? Masalahnya ialah tiada satu laporan rasmi pun kelihatan anak bulan di Arab Saudi sepertimana yang diberitahukan oleh jawatankuasa ICOP itu. Tentu ada masalah dengan pegangan Arab Saudi berhubung penetapan hilal ini tetapi bukanlah soalnya hendak menanggapi seratus peratus mereka berpegang kepada faham Wahhabi tetapi jika mengikut kenyataan semenjak bertahun-tahun lamanya, realitinya tetap ada!

Perhitungan Hilal Qamari

Graf kebolehnampakan (imkanur rukyah) anak bulan telah diplot (Rajah 3) untuk menunjukkan salingkait kedudukan altitud hilal dengan umurnya bagi tempoh selama 18.6133021273 tahun kerana mengambilkira tempoh maksimum peredaran orbit bulan dari simpul menurun (’uqdah naubahar) ke simpul menaik (’uqdah jauzahar) di sebabkan putaran paksi orbit bulan mengelilingi bumi yang terjungkit sebanyak 5.145 darjah dari satah ekliptik. Perhitungan adalah dimulai dari tarikh 26 Disember 2000 (29 Ramadhan 1421) hingga 12 Mei 2021 (29 Ramadhan 1442) dengan mengambil lokasi Pantai Acheh, Pulau Pinang sebagai latitud tetapan kiraan, kesemuanya bagi kes hilal Syawal sahaja.

Rajah 3. Graf polinomial usia dan altitud hilal selama 18 tahun (Syawal sahaja)

Keputusan yang diperolehi menunjukkan bahawa bagi orbit bulan di simpul paling atas (menaik) berlaku pada tarikh 23 Mei 2020 di azimut 290o03’15” dengan altitud hilal 6o45’15” dan usia 17 jam 50 minit ketika terbenam matahari di lokasi berkenaan manakala orbit bulan di simpul paling bawah (menurun) berlaku pada tarikh 15 Disember 2001 di azimut 245o20’52” dengan ketinggian hilal 5o14’12” dan usia hilal 14 jam 22 minit. Menurut graf, ketinggian hilal paling minimum bagi satu pusingan nutasi (18 tahun ini) adalah pada 17 Ogos 2012 di azimut 279o50’41” dengan altitud -6o09’21” ketika usia hilal 4 jam 22 minit manakala ketinggian hilal paling maksimum pula adalah pada simpul menaik tadi. Oleh kerana rantau azimut hilal adalah signifikan dengan turun dan naik orbit bulan di atas jungkit paksi, kesimpulannya azimut hilal di antara 244 hingga 291 darjah itu menjadi rantau azimut rasmi untuk negara Malaysia dan sekitarnya.

Dapat juga dilihat, pada tahap minimum manakah hilal boleh kelihatan menurut perhitungan yang telah dilakukan ini? Persamaan polinomial usia hilal yang telah didapati dari model perhitungan ini ialah y = -0.0206x2 + 1.5144x - 5.4644 di mana R2 = 0.9944 (dianggap sebagai nilai terbaik!) manakala persamaan polinomial untuk altitud hilal ialah y = -0.0099x2 + 0.7451x - 5.4756 di mana R2 = 0.895 (dan masih dianggap nilai yang terbaik setakat ini!!). Garisan merah pada graf adalah garis ufuk laut ketika matahari terbenam. Satu kepastian dari graf juga telah didapati bahawa untuk mencapai tahap matang (saya anggap 12 jam) ialah hilal mesti berada setinggi lebih kurang 3 darjah di atas ufuk. Ini adalah sangat hampir menyamai kepada kriteria yang telah digunapakai dalam konteks Malaysia iaitu lebih 8 jam dan setinggi 2.5 darjah.

Hukum Melihat Anak Bulan

Sesuai dengan hadis riwayat Bukhari dan Muslim yang berbunyi: "Berpuasalah kamu dan berhari rayalah kamu dengan melihat hilal, jika hilal diliputi mendung (ghaim dan sebagainya) maka cukupkanlah 30 hari" maka kita mencerap hilal pada hari ke-29.

Itulah yang dapat dinukilkan dari hadis di atas. Rukyah adalah ‘wasilah’ (menurut faham Astora Jabat!) bahkan wasilah ini adalah sunah yang dituntut dan telah menjadi fardhu kifayah yang telah diamalkan berkurun-kurun lamanya hatta oleh ulamak modernis seperti Sheikh Tahir Jalaluddin Al Azhari (ulamak pembaharuan: islah) sekalipun!. Justeru, sabda Rasul SAW berkenaan rukyah tadi wujud dalam banyak riwayat seperti Bukhari dan Muslim, maka ia bukan lagi hadis Ahad (hadis satu riwayat) dan langsung menyalahi tanggapan Astora yang mengatakan hadis rukyatul hilal itu Ahad!

Kefahaman dari hadis rukyah ialah: lihatlah anak bulan, maksud di sini dengan mata kasar sama ada dengan alat atau tidak. Bahkan dengan alat teodolit, kita boleh mengetahui arah hilal itu dengan amat mudah sekali tanpa perlu terkial-kial mencari di mana hilal itu berada. Suka ditambahkan di sini yakni Astora menuduh saya anti pemodenan apabila dinyatakan tidak perlulah guna teleskop infrared dan radio. Sebagai pengetahuan bersama, sebenarnya bulan mengelilingi bumi selama 29.530588 hari. Jadi tidaklah boleh setiap bulan itu hanya 29 hari sahaja dan pasti mesti ada hari yang 30 juga. Itulah hikmahnya Rasul SAW menyuruh melihat anak bulan untuk membuat satu ketetapan sama ada 29 ataupun 30 hari. Jika digunakan teleskop infrared dan radio, penglihatan kita ke atas anak bulan yang berada amat rendah di ufuk akan dengan mudahnya terlihat tanpa mengira bagaimana sekalipun keadaan cuaca atau ghaim yang menghalangi termasuk sinar matahari yang cukup kuat itu!

Soal memajukan teknik pencerapan hilal menggunakan teleskop inframerah dan radio sebenarnya boleh, namun begitu biarlah segala apa jua keputusan yang diperolehi darinya nanti tidak akan sekali-kali mengubah ketetapan atau justifikasi amalan falak Islam semenjak zaman-berzaman yang menuruti sunnah. Falaki Islam sememangnya juga berhasrat untuk menggunakan peralatan canggih demi mendapatkan data anak bulan yang lebih banyak dan jitu yang bukan setakat dalam julat optik atau cahaya tampak (visible light) bahkan juga dalam julat spektrum elektromagnetik lain seperti ultraungu, inframerah dan radio demi menambahkan khazanah maklumat saintifik yang berguna untuk sejumlah himpunan data astronomi tetapi pemajuan ini memerlukan kos yang bukan sedikit dalam mempertingkat-upaya (upgrading) peralatan pencerapan selain dari peralatan konvensional sedia ada seperti teodolit dan teleskop optik. Namun, adaptasi teknologi penderian jauh satelit (remote sensing) boleh diserapkan bagi penentuan awal hilal. Justeru itu, telah saya tambahkan sedikit segmen remote sensing dalam artikel ini untuk memperkuatkan hujah penulisan.

Rajah 4 memaparkan imej inframerah dalam jalur spektral 1-2-3 hampir visible Semenanjung Malaysia yang telah diambil oleh satelit NOAA AVHRR (National Oceanic and Atmospheric Administration, Advance Very High Resolution Radiometer) pada hari merukyah hilal 4 Disember 2002. Pada hari itu, taburan awan telah melitupi sehari suntuk dalam semua imej NOAA sama ada yang diambil oleh satelit NOAA-12, 14 dan 15. Setiap satu satelit mengambil secara bergilir menurut masa yang tertentu sama ada pada waktu siang, senja, malam dan pagi. Imej yang dipaparkan ini adalah imej satelit NOAA-15 yang diambil hampir waktu petang.

Negara Thailand di mana Wilayah Yala dan Yaha merayakan Aidil Fitri pada hari Khamis 5 Disember dengan dakwaan anak bulan kelihatan di situ tetapi ia menjadi satu 'laporan' yang tidak konkrit memandangkan litupan awan tebal yang penuh di selatan Thailand.

Rajah 4. Keadaan taburan litupan awan yang maksimum pada 4 Disember 2002 di pesisiran pantai barat Semenanjung Malaysia

Menurut seorang rakan yang belajar di Pattani, pada 4 Disember 2002 beliau mengatakan bahawa hilal wujud 17 minit selepas matahari terbenam dengan berada tinggi di langit serong ke sebelah utara sepertimana yang dimaklumkan oleh penduduk setempat di Pattani sedangkan menurut hisab falak anak bulan sudah pun terbenam. Terbenam matahari di Bangkok (+7 jam dari GMT) adalah pada 17:48:32. Tujuh belas minit kemudian iaitu pada jam 18:05 ketinggian anak bulan adalah 3 darjah 39 minit 16 saat di bawah ufuk laut!! Jadi, anak bulan apakah yang mereka nampak? Kadangkala keadaan biasan sinar matahari dan awan lentikular (lenticular cloud) juga boleh disalah-sangkakan anak bulan. Inilah sikap sesetengah masyarakat Islam yang beramal tanpa ilmu, maka jadilah kesilapan yang serius dalam beramal sepertimana yang dapat dilihat dengan begitu ketara dalam kes menentukan arah qiblat!

Masalah Awal Rukyah Di Malaysia

Pendekatan kaedah penentuan hilal dengan hisab dan rukyah yang digunapakai oleh Malaysia semenjak tahun 1984 yang lalu adalah sangat praktis dan sangat sesuai dengan hadis sabda baginda SAW setelah negara menghadapi kemelut pada tahun 1981 apabila merayakan Aidil Fitri lewat sehari dari negara jiran iaitu Singapura dan Indonesia apabila menggunakan kriteria rukyah semata-mata (tidak guna hisab) kerana bergantung kepada fahaman awal "apa yang dilihat itu adalah keputusan". Kes di bawah boleh menceritakannya.

Pada tahun 1977, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam tiba-tiba telah menerima rumusan Seminar Pentadbiran Undang-undang Jenayah dan Keluarga Islam yang diadakan di Kedah. Rumusan seminar tersebut menyatakan tarikh puasa dan hari raya hanya ditentukan dengan cara rukyah sahaja. Maknanya ketika merukyah anak bulan pada petang 29 Syaaban atau Ramadhan jika mendapati anak bulan tidak kelihatan, keesokan harinya dicukupkan menjadi 30 Syaaban atau Ramadhan. Penetapan ini tidak mengambil kira hisab tetapi ianya hanya berfungsi sekadar membantu dalam kerja-kerja merukyah sahaja. Kesan dari penetapan ini timbul semula perbincangan hangat berhubung dengan kaedah yang diamalkan yang jelas memperlihatkan negara kita sering sahaja terlewat memulakan puasa dan hari raya berbanding dengan negara-negara lain. Apa yang berlaku negara kita sentiasa mencukupkan puasa sebanyak 30 hari kerana anak bulan tidak kelihatan hanya disebabkan oleh faktor cuaca! Kita imbas kembali senario yang telah berlaku di Malaysia ketika menentukan hilal Ramadhan dan Syawal waktu itu.

Mengikut hisab, ijtimak bulan Ramadhan 1401H berlaku pada 3.00 pagi pada 2 Julai 1981. Pada petang hari tersebut matahari terbenam pada pukul 6.54 petang manakala bulan pula terbenam pada pukul 7.30 petang. Ini bermakna peluang merukyah anak bulan mengambil masa 36 minit setelah matahari terbenam. Akan tetapi rombongan merukyah anak bulan pada petang tersebut gagal melihat anak bulan kerana faktor cuaca yang dialami di negara kita. Justeru Penyimpan Mohor Besar Raja-raja mengisytiharkan permulaan puasa jatuh pada 4 Julai 1981. 3 Julai 1981 bulan Syaaban disempurnakan menjadi 30 hari. Hal ini tidak disedari oleh sebahagian besar umat Islam, tetapi bagi ahli-ahli falak menyedari akan timbul masalah semasa menentukan hari raya kelak.

Detik hari penentuan (judgement day) Aidil Fitri 1401 bilamana ijtimak bulan Syawal 1401 telah berlaku awal pagi pada 31 Julai 1981. Hisab falak pada petang hari tersebut menunjukkan matahari akan terbenam pada jam 6.56 petang dan bulan pula terbenam pada jam 7.09 petang. Ini bermakna anak bulan akan berada di atas ufuk ketika matahari terbenam selama 13 minit. Secara teknikalnya, anak bulan boleh dirukyah pada petang hari tersebut tetapi pada tarikh tersebut (31 Julai), umat Islam di Malaysia baru mencukupkan puasa selama 28 hari sedangkan menurut amalan dan sunnah, anak bulan hanya boleh dirukyah pada hari ke-29. Oleh itu pada 31 Julai 1981 anak bulan tidak dirukyah sedangkan negara-negara jiran Singapura, Indonesia dan Thailand telah mengisytiharkan hari raya pada 1 Ogos 1981. Sedangkan Malaysia pada tarikh tersebut (1 Ogos) baru hendak merukyah anak bulan Syawal dan hasilnya 'anak bulan' (yang sebenarnya bulan sabit muda yang telah berumur dua hari!) telah kelihatan dengan begitu jelas di Teluk Kemang, Negeri Sembilan dan Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda Kedah. Ini bermakna Malaysia telah terlewat sehari berhari raya dengan negara-negara jirannya.

Inilah kemuncak kepada kontroversi yang selalu berlaku semasa penentuan Ramadhan dan Syawal sepanjang tahun yang telah mengubah segala-galanya. Pada masa sekarang ini, walaupun kita tidak diberatkan atau diwajibkan untuk mencerap hilal pada setiap bulan hijrah (kecuali Ramadhan dan Syawal) cukup dengan sekadar hisab imkanur rukyah sahaja, telah ternyata amalan baru imkanur rukyah ini adalah jauh lebih stabil dalam membuat ketetapan pada taqwim hijri yang dibuat oleh jabatan agama Islam Malaysia.

Pihak berkuasa agama Malaysia juga telah mengambil satu lagi pendekatan dengan mengisytiharkan cerapan hilal pada 29 Zul Qaedah setiap tahun apabila kita tidak berpuas hati dengan cara penetapan tarikh 10 Zulhijjah yang Arab Saudi amalkan yakni sebelumnya kita tetapkan selepas hari wuquf di Arafah tetapi apabila mengambilkira bukan setakat kita terlewat sehari berhari raya Aidil Adha bahkan juga apabila kita menyedari terjadinya kesalahan di pihak Arab yang kerap menggunakan kaedah ijtimak untuk menetapkan bulan baru hijrah dan bukannya sabit kebolehnampakan hilal!

Menjawab masalah yang berbangkit pada segelintir orang berkenaan ijtimak atau bulan baru pada persoalan ini: "apakah ianya sebagaimana yang dinyatakan 'rukyah apabila berlakunya ijtimak' bilamana rukyah dilakukan ketika matahari hampir terbenam sehinggalah ianya terbenam? Kenapakah kenyataan sedemikian yang ditulis? Bagaimana hendak rukyah ketika berlakunya ijtimak kalau ijtimak berlaku waktu subuh atau tengahari atau malamhari? Kenyataan selepas itupun mengenai amalan Arab Saudi - bulan baru lunar telah masuk apabila ijtimak matahari dan bulan berlaku."

Untuk memahamkan kepada persoalan tadi bagaimana kenyataan saya "rukyah apabila berlakunya ijtimak" adalah satu kebenaran, di bawah adalah jawapannya:-

Begini, di dalam penentuan hari melihat anak bulan, pemerhatian terhadap bila jatuhnya hari ke-29 adalah amat penting. Selalunya hari ke-29 dianggap hari di mana ijtimak dijangka berlaku dan kaedah ini telah lama dipraktiskan di Malaysia dengan menjadikannya sebagai hari merukyah hilal dengan jayanya.

Katakanlah bahawa jika ijtimak berlaku pada jam 3 petang 4 Disember dan maghrib pada hari tersebut masuk pada jam 7 malam. Ini bermakna usia hilal baru 4 jam. Andaikata ijtimak berlaku jauh lebih awal lagi iaitu 3 pagi 4 Disember maka usia hilal adalah 16 jam. Namun begitu, katakan ijtimak berlaku pada jam 9 malam 4 Disember, maka hilal yang ada ketika matahari sedang ghurub akan dianggap hilal tua kerana ijtimak belum lagi berlaku. Namun begitu, dalam ketiga-tiga kes ini ijtimak tetap dikatakan berlaku pada hari 4 Disember, cuma masanya yang berlainan. Ini sebenarnya tetap menjadi bukti bahawa ijtimak berlaku pada hari ke-29. Maka sesuailah sunnatullah alam bahawa pusingan bulan adalah selama 29.5305882329 hari sebagai satu piawai (constant). Cuma pecahan 0.5305882329 hari adalah satu penentuan untuk meletakkan di manakah masanya yang sesuai untuk kelihatannya anak bulan itu.

Katakan jika ijtimak 4 Disember berlaku pada jam 3 pagi, maka 0.5305882329 adalah genap terjadi pada saat terdetiknya jam 3 pagi itu. Maka akan matanglah anak bulan yang akan kelihatan pada waktu maghrib tatkala terbenamnya matahari. Apa yang selalu ahli falak buat ialah mulai merukyah (mencerap) hilal sebelum lagi matahari terbenam untuk membolehkan persediaan yang mencukupi dan sebagai satu ihtiyathi (kehati-hatian dan kecermatan). Jadi tak timbul soal pada persoalan di atas tadi kerana syarat untuk anak bulan itu sendiri untuk kelihatan telahpun dipenuhi berdasarkan kematangannya 16 jam!

Laporan Rukyah Sedunia Hilal Syawal 1423

Aktiviti rukyah dilakukan setiap bulan di seluruh dunia melalui satu projek yang dilakukan secara sukarela dan bebas dari mana-mana pihak. Projek yang dinamakan 'Projek Cerapan Hilal Islam' (ICOP) berpusat di Jordan disertai oleh pencerap-pencerap di seluruh dunia. Semua pencerap yang terlibat dalam projek ini memiliki kemahiran mencerap hilal yang terdiri dari profesional dan amatur. Peserta projek datang dari seluruh dunia termasuklah Malaysia.

Laporan dari para pencerap ICOP di seluruh dunia melaporkan tiada pencerap yang dapat melihat hilal pada hari Rabu, 4 Disember 2002 (29 Ramadhan 1423H). Menurut hisab, hilal tidak dapat dilihat pada petang Rabu 29 Ramadhan termasuklah Arab Saudi dan negara-negara Arab yang lain. Pada hari Khamis, 5 Disember 2002 (30 Ramadhan) kebanyakan tempat di dunia boleh melihat hilal (sabit muda) dan hari Raya Syawal 1423 sudah sepatutnyalah disambut pada hari Jumaat, 6 Disember 2002.

Laporan pencerap ICOP dari Arab Saudi, Annuar Al Muhammad dan Saleh Al Saab melaporkan pada Rabu, 29 Ramadhan 1423 hilal tidak dapat dilihat dan matahari juga tidak kelihatan ketika ghurub kerana dilindungi awan. Beliau menyebut seperti biasa, ada beberapa orang (kurang dari sepuluh orang) mendakwa melihat hilal sedangkan tiada seorang pencerap rasmi dari komiti (committee) hilal yang dapat melihat hilal.

Pencerap ICOP Jordan pula melakukan cerapan yang lebih bersungguh dengan menggunakan kapalterbang khas untuk mencerap hilal tetapi mereka juga tidak berjaya melihat hilal walaupun cerapan dibuat pada ketinggian 3800 meter dan aras laut.

Amatlah diharapkan segala penerangan saya yang panjang lebar ini boleh memenuhi rasa keinginan untuk mengetahui apakah masalah sebenar yang telah berbangkit di setiap sanubari setiap muslimin dan muslimat yang beriman kepada Allah.

Akhir kata, segala puji-pujian bagi Allah Tuhan Yang Menciptakan Sekalian Alam dan kepada-Nya segala urusan dikembalikan. Maaf dipinta jika ada teguran saya yang menyentuh jiwa pada sesetengah orang yang terbabit. Wallahua’lam. Wassalam.

Negara Kenampakan Hilal Keadaan Ufuk 1 Syawal Catatan
Indonesia Tak nampak Berawan
Jerebu
Jumaat 6 Dis. Muhammadiah
Khamis 5 Dis
Malaysia Tak nampak Berawan Jumaat 6 Dis  
Brunei Tak nampak Berawan Jumaat 6 Dis  
Singapura Tak nampak   Jumaat 6 Dis  
Maldives Tak nampak Awan Khamis 5 Dis Ikut negara Islam yang dakwa nampak hilal
Iran Tak nampak Awan Jerebu Jumaat 6 Dis  
Arab Saudi Tak nampak Awan Khamis 5 Dis Ada pihak dakwa nampak hilal
Bahrain Tak nampak Jerebu Khamis 5 Dis Ikut A. Saudi
Kuwait Tak nampak Awan Jerebu Khamis 5 Dis Ikut A. Saudi
Jordan Tak nampak Awan Khamis 5 Dis Ikut A. Saudi
Algeria Tak nampak Awan Khamis 5 Dis Ikut A. Saudi
Maghribi Tak nampak   Jumaat 6 Dis  
Tanzania Tak nampak Awan Jumaat 6 Dis  
Kenya Tak nampak Awan Jumaat 6 Dis  
Afrika Selatan Tak nampak Awan Jumaat 6 Dis  
Nigeria Tak nampak Cerah Rabu 4 Dis (U)
Khamis 5 Dis (S)
ZJMSN – Jumaat 6 Dis
Ireland Tak nampak Awan Khamis 5 Dis Ikut Arab Saudi
Norway     Khamis 5 Dis Ikut Arab Saudi
UK   Cerah Jumaat 6 Dis  
USA Tak nampak Awan Jumaat 6 Dis  
Hawaii Tak nampak Cerah Jumaat 6 Dis  
Kanada Tak nampak Awan Jumaat 6 Dis  
Bosnia Tak nampak Awan Khamis 5 Dis Ikut Arab Saudi
Jerman Tak nampak Awan Khamis 5 Dis Ikut Arab Saudi
Trinidad dan Tobago Tak nampak Awan Jumaat 6 Dis  

Kosakata:

jerebu:
haze (B. Inggris)
paksi
rotasi

1B.Sc. (Remote Sensing) Hons. UTM, calon M.Sc. (Astrofizik) USM, Unit Penyelidikan Ilmu Falak dan Sains Atmosfera, USM.


Kunjungi Ferry's Astronomy Page Copyright © 2003 Ferry's Astronomy Page
All Rights Reserved